Wednesday, March 12, 2008

Pengenalan

Peradaban Mesir terkenal sebagai salah satu di antara sejarah peradaban manusia tertua di dunia dan dikenali dengan sistem pentadbiran negara paling maju dalam hubungan sosial di zamannya. Namun masyarakat yang “beradab” ini, pada masa era pemerintahan Firaun telah menyaduri sistem dajal ke dalam sistem kerajaan mereka.

Hal ini disebutkan secara jelas dalam al Quran dalam bahasa yang amat jelas dan nyata. Mereka bersifat bongkak, angkuh dengan kebanggaan diri. Akhirnya baik peradaban mereka yang maju, mahupun kemajuan sosial politik mereka bahkan dengan tentera yang kuat sekalipun tidak mampu menyelamatkan diri ketika mereka dihancurkan.

“Kami menceritakan kepadamu sebahagian daripada kisah Musa dan Firaun dengan benar untuk orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk ke dalam orang-orang yang berbuat kerosakan. Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin serta menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi ( bumi ). Dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi serta akan Kami perlihatkan kepada Firaun dan Haman beserta tenteranya apa yang selalu mereka bimbangkan daripada mereka itu”

Peradaban bangsa Mesir sangat bergantung kepada kesuburan sungai Nil . Bangsa Mesir telah menetap di lembah Nil kerana suburnya kawasan ini dengan limpahan air yang sentiasa mengalir sehinggakan mereka boleh memanfaatkan tanah dengan kemudahan air yang telah diperolehi daripada sumber pengairan sungai yang tidak tergantung kepada musim hujan.

Republik Arab Mesir merupakan sebuah negara yang luas iaitu meliputi 1,002,00 kilo-meter persegi di Benua Afrika. Namun begitu hanya 4 % daripada tanahnya terdiri daripada kawasan delta yang amat sesuai untuk pertanian sementara yang lain adalah kawasan padang pasir dan berbukit. Negara Mesir terbahagi kepada 21 wilayah (muhafazah). Secara amnya, suhu di Republik Arab Mesir ini di antara 7-40 darjah Celcius. Terdapat empat musim yang terdiri daripada:

Musim Sejuk November - Januari
Musim Bunga Februari – April
Musim Panas Mei - Julai
Musim Luruh Ogos - Oktober

Agama Islam menjadi agama rasmi negara dengan dijadikan undang-undang Islam sebagai sumber perundangan. Sebanyak 94% penduduk adalah beragama Islam dan bakinya beragama Kristian Katholik . Namun begitu, agama lain turut diberikan kebebasan untuk dianuti oleh. Bahasa rasmi negara ini ialah bahasa Arab Fushah namun bahasa Arab Ammmiyah adalah bahasa yang dipraktikkan sehari-hari di negara Mesir ini sementara Bahasa lnggeris dan Bahasa Perancis menjadi bahasa kedua.

Komodoti sara hidup di negara ini semakin meningkat dari semasa ke semasa. Ini berikutan Dasar Ekonomi Terbuka yang diamalkan oleh kerajaan Mesir sekarang yang menyebabkan meningkatnya kadar sewa rumah dan harga barang-barang keperluan seharian. Perbelanjaan minima bagi seorang pelajar Malaysia sekarang dalam lingkungan USD50 sebulan .

Universiti Al - Azhar

Usianya telahpun menjangkau lebih seribu abad. Bangunan-bangunan lama masih terus didiami, lorong-lorong gelap penuh dengan sampah-sarap, lopak-lopak air dan pelbagai lagi keadaan yang menggambarkan betapa berusianya bandar ini. Walau bagaimanapun, situasi ini seakan tidak terasa, hilang terselindung di sebalik kegemilangan sinar mutiara agung para cendekiawan Mesir, Al Azhar.

Al-Azhar adalah pusat ilmu yang melahirkan professional Islam yang sering menggegarkan dunia jahiliyyah. Segala permasalahan masyarakat dapat ditangani oleh mereka secara syura. Akibatnya Pihak musuh sentiasa merancang pelbagai strategi untuk menjatuhkan Al Azhar. Semakin hari Al-Azhar semakin berkembang dan semakin ramai tokoh pemikir Islam yang sejati dilahirkan. Antaranya Dr. Yusuf al-Qardhawi, Dr Omar Hashim, Dr Sayyid Ahmad Musayyar, Dr Musa Syahin Lashin, Dr Ali Jumaah, Dr. Husin Husin Syuhatah dan ramai lagi.

Selain itu Al-Azhar juga membuka cawangan-cawangan di beberapa muhafazah (daerah besar) di Mesir. Sehingga ke saat ini Universiti Al Azhar telah memiliki berbagai-bagai cabang hubungan antarabangsa di dalam bidang pendidikan dan hampir ke seluruh di negara-negara Eropah, Afrika, dan Asia ,seperti Indonesia, Thailand, China dan lain-lain lagi
Universiti al-Azhar menjadi simbol kepada para penerus warisan perjuangan Islam baik di Timur mahupun di Barat. Ia merupakan benteng pertahanan keilmuan dan pemikiran daripada terjahan dan serangan musuh-musuh Islam.

Al-Azhar merupakan lembaga keilmuan Islam yang besar yang menjaga turath Islamiyyah dan menyebarkan misi dan amanah Islami kepada segenap umat di pelosok-pelosok bumi. Kini, masjid yang bersejarah yang telah dibina oleh arkitek Islam di zaman pemerintahan Fatimiyyah, Jauhar as-Saqali tetap utuh dan kekal walaupun ia bukan lagi seratus peratus bercorakkan binaan dan kesenian asli seperti pada zaman beliau. Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai pusat penyebaran ilmu Islam tetap gemilang sehingga sekarang.

Kedudukannya di Kota Kaherah sejak era Fatimiyyah lagi masih tidak melunturkan kesan khazanah ilmu walaupun bangunannya yang antik sering dibaik-pulih, namun ia terus bercahaya melahirkan intelektual Islam mencorak masyarakat masa hadapan. Mengikut catatan sejarah, Khalifah Aziz Billah merupakan pengasas kepada penubuhan universiti Islam pertama di dunia iaitu Al Azhar. Pemugaran masjid tersebut sentiasa terserlah sejak zaman berzaman.

Masjid Amru al-’As radhiAllahu anhu

Masjid Saidina Amru al-‘As merupakan masjid yang pertama didirikan di kawasan benua Afrika ini. Masjid ini telah dibina oleh Saidina Amru ibn al ‘As bersama beberapa orang sahabat ketika itu. Khalifah Umar al Khattab radhiAllahu an.hu telah memeberi tanggungjawab kepada Amru al ‘As untuk membina masjid setibanya berjaya membuka Mesir. Pembinaannya dimulakan pada tahun 21H / 641M di Fustat , Ibu Kota Mesir pada waktu itu sebelum Kaherah.

Dengan berbekalkan kumpulan tenaga kerja yang lebih 60 orang sahabat baginda Rasulullah SallAllahu alaihi wasalam. Masjid ini dibina dan ia dikenali sebagai Masjid Amru al ‘As bersempena dengan nama panglima Islam yang telah membuka Mesir.

Pada peringkat awal , ia merupakan masjid yang menjalankan pengajian keilmuan yang tulen dari ulama' yang ikhlas menyatakan ilmu Allah Taala. Imam Syafei rahimahu’Llah telah memulakan kelas pengajiannya di dalam masjid ini dan memperkenalkan mazhab barunya yang dikenali sebagai 'Mazhab Jadid'. Masjid ini telah beberapa kali mengalami proses pemulihan dan perluasan. Hingga kini proses pemuliharaan dan pengindahan masjid ini masih terus dijalankan oleh pihak kerajaan Mesir bagi menjaga keindahan dan keunikannya dari zaman berzaman.

Masjid Saidina Hussain radhiAllahu anhu


Masjid ini terletak berhampiran dengan Masjid Al-Azhar. Menurut setengah pendapat ada yang menyatakan kepala Saidina Husein dikebumikan di sini. Sesetengah pendapat lain pula menyatakan kepala beliau dikebumikan di Baqi', Madinah al Munawwarah.

Dikatakan juga di dalam masjid ini tersimpan barang peninggalan Rasulullah sallAllahu alai wasalam seperti pakaiannya, celak, sejengkal bahagian tongkat Rasulullah dan beberapa helai janggut Baginda juga helaian al Quran yang ditulis oleh Saidina Ali KaramAlahu wajhah. Kebetulan al Quran tersebut merupakan al Quran yang dibaca oleh Saidina Osman radhiAllahu an.hu sewaktu beliau dibunuh.

Namun sejauh mana kebenaran situasi dan lokasi berlakunya peristiwa tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya. Masjid ini juga pernah menjadi Masjid Negara Mesir sebelum perpindahannya ke Masjid baru yang terletak di Abbasiyyah yang dikenali sebagai Masjid anNur yang kekal sehingga sekarang.

Qal’ah (kubu ) Sultan Salahuddin al-Ayubi rahimahu’Llah

Qal’ah Sultan Salahuddin al-Ayubi atau lebih dikenali dengan benteng Salahuddin al-ayubi merupakan kawasan yang sangat luas. Benteng ini terletak bersebelahan Bukit Muqattam dan berhampiran dengan Medan Saiyyidah Aisyah. Idea pembinaan kubu ini adalah hasil cetusan Sultan Nasir Salahuddin al-Ayubi sendiri dan pembinaannya dilaksanakan pada tahun 1183M. Baginda melihat bahawa Kota Kaherah begitu luas dan besar, terdedah kepada bahaya dan serangan kerana tiada mempunyai sistem pertahanan kubu yang ampuh sebagaimana di Halab dan Dimasyq, Syiria khususnya semasa perang Salib berlaku.

Pembinaan kubu yang terletak di atas bukit ini memerlukan asas yang kukuh dan utuh zaman berzaman. Panglima Salahuddin al-Ayubi telah mengarahkan agar diambil batu yang terdapat di Piramid di Giza, untuk dijadikan sebagai batu asas kubu tersebut. Kubu ini dikelilingi pagar yang tinggi untuk mengelakkan musuh menceroboh masuk.

Untuk memasuki kubu ini, terdapat beberapa pintu utama diantaranya pintu Fath, pintu Nasr, pintu Khalk dan pintu Luq. Kemudian terdapat saliran air sebagai bekalan kegunaan tentera pada masa itu. Saliran ini bermula dari sungai Nil menghubungi ke kubu Sultan Salahuddin al-Ayubi. Banyak kesan sejarah yang terdapat di kubu tersebut yang dibina sejak zaman pemerintahan kerajaan Ayubiah dan diluaskan sehinggalah zaman kerajaan Uthmaniyyah. Di bahagian utara kubu ini terletaknya Masjid Mohammad Ali Pasha yang diperbuat daripada marmar dan granit.

Terdapat juga di dalam kawasan benteng ini Muzium Polis, Qasrul Jawhara (Muzium Permata) yang mengandungi perhiasan raja-raja Mesir. Terdapat juga Mathaf al-Fan al-Islami (Muzium Kesenian Islam) yang terletak di bab (pintu) Khalk yang menyimpan sekitar ribu barang yang melambangkan kesenian Islam semenjak zaman Nabi Muhammad sallAllahu alaihi wasallam sehingga sekarang antaranya surat Rasulullah yang diutuskan kepada pemimipin Mesir ketika itu bernama Maqauqis agar beliau mentauhidkan Allah Taala.

Masjid Mohammed Ali Pasha

Mohammed Ali Pasha berketurunan Albania telah diputerakan di Bandar Qaulah (Qavalia), Macedonia Greece pada tahun 1182H / 1769M. Beliau merupakan pengasas dan pemerintah dinasti terakhir system pemerintahan beraja di Mesir. Beliau telah menganggotai angkatan tentera laut dan datang ke Mesir bertujuan untuk memerangi tentera Perancis yang diketuai Napoleon Bonaparte.

Setelah tentera Perancis berundur, beliau dilantik sebagai pemerintah Mesir menggantikan Khurshid Pasha pada tahun 1805. Masjid Muhammad Ali dibina oleh beliau sebagai symbol pemerintahan beliau di Mesir yang beraliran moden pada tahun 1830M. Pembinaan masjid ini telah diketuai oleh seorang arkitek Turki bernama Youssef Coshna (Bushnaq), seorang arkitek bangsa Greek yang mengambil model Hagia Sophia (sebuah gereja yang ditukar masjid di Turki). Masjid ini juga terkenal dengan seni bina kerajaan Byzantine.

Ia merupakan seni bina Islam kurun ke -19 yang paling menonjol dan banyak diziarahi pelancong. Masjid Mohammed Ali disebut juga Masjid Marmar (The alabaster Mosque) kerana bahan binaan dalamannnya mewah dengan marmar yang terbaik, termasuklah mimbarnya juga diperbuat daripada marmar Bani Suef.

Seni Bina masjid berbentuk empat segi, manakala keluasan kawasan ini ialah 52×54 meter persegi yang dilapisi oleh marmar putih. Di tengah-tengahnya terdapat tempat mengambil wudhu’ yang dihiasi dengan seni ukiran yang menarik. Jam antik di menara jam di luar kawasan masjid (sebelah barat) ini adalah hadiah oleh Raja Perancis, Louis Phillip kepada Muhammed Ali pada tahun 1945. Menara azannya mencapai ketinggian 84 meter, ia juga turut dipengaruhi oleh kesan seni arkitek Turki Uthmaniyyah . Terdapat di dalamnya sebuah perigi yang dalam, dikenali dengan nama Perigi Yusuf.

Kedudukannya yang starategik membolehkan ia dapat dilihat dari semua penjuru kota Kaherah. Manakala dari pemandangan luarnya ,dapat dilihat pemandangan kota Kaherah secara keseluruhan. Kawasan dalaman masjid ini terdiri daripada beberapa buah kubah. Keluasan bahagian dalamnya ialah 41 meter panjang, 21 meter lebar. Kubah besarnya mencapai ketinggian 52 meter dan dikelilingi oleh kubah sederhana besar yang tertulis nama Khulafa’ ar-Rasyidin di setiap penjurunya. Reka bentuk dalaman yang indah menjadikan suasana nyaman. Sistem gema suara hasil lantunan padu di dalam masjid ini dapat didengar dari segenap penjuru masjid walaupun tanpa menggunakan sistem mikrofon. Masjid ini mempunyai lampu Chandier seberat 2 tan yang indah tergantung di tengah-tengahnya. Sebelum adanya elektrik lampu-lampunya dinyalakan dengan lilin.

Terdapat dua mimbar yang kedua dan juga digunakan sehingga sekarang. Masjid ini juga terdapat makam Muhammad Ali Pasha yang terletak di bahagian kanan pintu masuk masjid ini. Seni bina makam tesebut dipenuhi dengan ukiran bercorak tumbuh-tumbuhan. Suatu kisah menarik tentang Masjid Mohammed Ali ini, ketika perang antara Mesir dan Israel dahulu masjid ini pernah menjadi sasaran peluru berpandu Israel. Namun dengan kekuasaan Allah, ketika hendak dibom rumah Allah ini, kabus tebal tiba-tiba muncul menyelimutinya. Pihak Israel tidak menjumpai sasarannya. Benarlah firman Allah Taala:" Dan bagi Allah-lah apa-apa yang dilangit dan apa-apa yang berada di bumi. Cukuplah Allah sebagai pengawal."

Qasrul Jauharah ( Istana Permata)

Istana ini telah dibina oleh Muhammad Ali Pasha sebagai tempat istirehat dan dewan makan tetamu. Muhammad Ali Pasha pernah menjemput orang Mamalik untuk menghadiri satu majlis yang bertujuan untuk berbincang hal pentadbiran negara .

Namun ia hanyalah muslihat untuk menjatuhkan kerajaan Mamalik. Selepas hidangan disantap mereka semua terbunuh , hanya seorang sahaja yang berjaya melepaskan diri. Di dalam dewan besar ini terpapar kelambu -kelambu kaabah buatan Mesir. Ditingkat dua pula dipamerkan takhta kerajaan Mesir semasa dinasti kerajaan Muhammad Ali.

Muzium Perang


Muzium Perang dibina oleh Muhammad Ali pada tahun 1828M sebagai istana keluarga dan kaum kerabatnya. Istana ini terdiri daripada 3 buah istana yang saling berhubungan, iaitu Istana Timur, Istana Tengah dan Istana Barat yang merupakan istana terbesar di zaman itu.

Pada zaman penjajahan Inggeris istana ini dijadikan sebagai hospital dan pada November 1949 pula ia telah dirasmikan sebagai Muzium Perang . Ia adalah Muzium Perang yag terbesar di dunia yang mempamerkan peristiwa bersejarah dan alat-alat senjata yang digunakan pada zaman Firaun sehinggalah Perang Oktober (perang menentang Israel) seperti kereta kebal , meriam , bom, dan lain-lain senjata. Muzium ini juga menyimpan khazanah sejarah yang tidak ternilai harganya.

Mathaf Syurtoh Qaumi


Pada zaman lampau, muzium ini digunakan sebagai penjara dan dikenali sebagai penjara kubu. Sebahagian daripada sel penjaranya masih wujud dan dikekalkan sebagai tempat bersejarah. Salah satu bangunannya menjadi muzium yang mempamerkan peristiwa bersejarah dan uniform polis mengikut perubahan zaman yang memerintah.

Selain itu, muzium tersebut turut mempamerkan contoh dadah, cara menangkap dan mengesan penagih dadah, senjata seperti pistol, pedang, bom dan termasuk keris Melayu purba.

Qasrul Ablaq

Merupakan istana yang terdapat bersebelahan Muzium Polis di dalam kawasan kota Salahuddin al-Ayyubi yang dibina pada zaman kerajaan Mamalik. Keistimewaan istana ini ialah terletak di dalam tanah. Terdapat tangga yang melingkar ke dalam tanah untuk sampai ke kawasan istana tersebut. Namun kini istana ini tidak dapat dikunjungi disebabkan sebahagian tangga tersebut runtuh dimakan usia.

Masjid Nasir Muhammad Qalawun

Masjid Qalawun dinasabkan kepada salah seorang panglima tentera Salahuddin al-Ayyubi yang telah memberikan sumbangan besar dalam peperangan dan penyebaran Islam. Masjid ini dibina pada tahun 1335M, terletak unik dan strategik di dalam kubu Sultan Salahuddin. Masjid ini juga dikenali sebagai Muzium Tiang kerana majoriti hiasan dalamannya difokuskan kepada tiang- tiang dengan seni ukiran Islam.

Semasa zaman Sultan Nasir, tiang-tiang ini diletak di bawah berasingan dan ukiran mahkota tiang-tiang tersebut diukir degan corak langgam dengan berbagai corak, sementara bumbungnya turut berukir dengan ayat-ayat al-Quran. Tiang yang ada sekarang sebahagiannya tiang asal manakala sebahagiannya telah ditukar dengan yang baru dan diimport dari luar negara seperti Turki, Itali dan Rom.

Masjid Sariah Jabal

Nama diambil sempena seorang sahabat nabi yang menyertai pasukan ketenteraan Saidina Amru al-‘As bernama Sariah jabal. Beliau juga dikenali sebagai Sulaiman Pasha. Masjid tertua di dalam kubu ini dibina pada zaman pemerintahan Fatimiyyah.

Terdiri daripada dua bahagian, bahagian pertama ialah perkarangan luar masjid dikelilingi ruwaq tertutup dan kubah yang sederhana tinggi. Bahagian kedua pula dihiasi ukiran kaligrafi menarik. Berhampiran masjid ini ialah tempat mengaji al-Quran dan beberapa buah makam. Sariah Jabal dan semua sahabat yang menyertai rombongan Amru al-As disemadikan di kawasan ini.

Masjid Sultan Hassan

Kedudukan masjid terletak besebelahan dari kubu Salahuddin al-Ayubi dan dapat dilihat dengan jelas kedudukannya jika dilihat dari kubu tersebut . Masjid Hassan dibina oleh Sultan Hassan dari Dinasti Mamalik pada tahun 1356 M. Tedapat di sana sekolah-sekolah yang telah diasaskan oleh Sultan Hassan yang sebelum ini merupakan pusat latihan kejuruteraan. Kawasan solatnya seluas 6500 meter persegi dan 1767 persegi meliputi kawasan-kawasan lain.

Sultan Hassan merupakan sultan ke-19 dari pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah. yang memerintah Mesir. Beliau merupakan anak ketujuh dari anak-anak Sultan Nasser Mohd ibn Qalawun. Masjid ini telah dibina oleh Bashir Agha pada tahun 1356M dan selesai pada tahun 1363M. Keluasan masjid ini ialah 7907 meter persegi dan mempunyai ketinggian 37.80 meter persegi. Terdapat dua buah menara, salah satunya berketinggian 82 meter. Dr Ali Jumaah (Mufti Mesir) sering memberikan khutbah jumaat di masjid ini.

Masjid al-Rifaie


Kedudukan Masjid Rifaei bersebelahan dengan Masjid Sultan Hassan. Imam Rifaei adalah merupakan seorang ulama' pendakwah yang masyhur. Walaupun masjid ini terkenal dengan nama Masjid Rifaei akan tetapi menurut catatan sejarah, beliau tidak dikebumikan di sini. Sebaliknya dikebumikan di Ummu Ubaidah, Iraq. Di dalam masjid tersebut terdapat beberapa buah maqam. Di antaranya makam Raja Farouq, anaknya Raja Fouad II, ibunya, serta makam Shah Iran yang mati dalam buangan Iran selepas peristiwa Revolusi Iran yang dipelopori oleh golongan mahasiswa yang memilih Ayatollah Khomeini sebagai pemimpin negara.

Raja Farouq adalah salah seorang dari raja-raja Mesir . Beliau telah menaiki takhta pada 1936. Jamal Abdul Nasser yang dikenali sebagai 'Dhubbath al Ahrar' menjatuhkan kredibiliti raja Farouq sebagai pemerintah dan mula menguasai pusat-pusat pemerintahan ketika itu. Jamal Abdul Nasir merupakan salah seorang pencetus revolusi yang berlaku pada 1952 dan mengakibatkan huru-hara di negara Mesir ketika itu.

Raja Farouq dipaksa menyerahkan jawatannya kepada anaknya Fouad II yang masih muda tetapi kuasa pemerintahan dikuasai oleh Jamal Abdul Nasser. Mereka akhirnya telah melarikan diri dan selepas kematian mereka, jasadnya dibawa masuk secara sembunyi di waktu malam dan dikebumikan di dalam Masjid al Rifaei.

Masjid al Rifaie juga dinamakan sebagai Masjid Zahirah, sempena peninggalan Jaafar yang telah dilantik sebagai polis pengawal Kaherah pada tahun 512H - 1122M. Penjuru-penjuru masjid ini dinamakan penjuru putih dan penjuru tinggi. Pada tahun 1869, Sayyidah Khausyiar dan keluarganya dikebumikan disamping makam dua orang ahli sufi iaitu Sheikh Yahya al Ansari dan Sheikh Ali Abu Syiba’.

Bazar Khan Khalili

Bazar ini terletak bersebelahan dengan Masjid Husein. Ia terkenal di kalangan pelancong asing. Di bazar ini terdapat penjualan barang-barang antik dan tradisional hasil usaha masyarakat Mesir seperti ukiran tembaga, kraftangan kulit, tenunan al Quran, dan sebagainya. Di samping itu juga, terdapat pelbagai pilihan permata-permata yang asli, dihasilkan dari Laut Merah yang begitu menarik.

Masjid Ibnu Thulun


23 Ramadhan bersamaan 220 Hijriah, Ahmad bin Thulun menjadi pengasas dinasti Thuluniah pada abad ke-3 Hijriah. Dinasti Thuluniah ini merupakan dinasti kerajaan Abbasiyyah pertama yang berjaya menguasai Mesir dan Syria. Masjid Ibn Thulun ini didirikan pada tahun 869M semasa Dinasti Thulun oleh Ahmad Ibnu Thulun. Ia terletak di kawasan Sayyidah Zainab. Halamannya adalah sangat luas dan senibinanya mewakili corak-corak masjid negara Mesir.

Namun ciri keunikan masjid ini jelas terletak pada menaranya yang mempunyai tangga melingkar sebagaimana menara Sumeria yang terkenal di negara Iraq. Masjid ini mempunyai kawasan yang luas dengan tiang-tiang besar dihiasi corak Khat al-Quran.

Piramid Giza


Kedudukan Ahram atau piramid yang terletak di Giza merupakan kawasan perkuburan Firaun di zaman dahulu. Ia merupakan salah satu tujuh binaan ajaib di dunia yang menjadi tumpuan para pelancong. Di kawasan ini terdapat tiga buah piramid utama dan juga Sphinx (Abu Houl) yang berkepala manusia bertubuh singa.

Jika diperhatikan kawasan ini, jelas akan dapat dilihat terdapat satu pelantar atau dataran seluas 2000 meter persegi yang terletak di kawasan ini dalam keadaan tribunal. Bayang-bayang 3 buah piramid ini tidak mengenai satu sama lain. Piramid yang terbesar ialah Cheops, kemudian Chephren dan Micerines. Terdapat juga tiga piramid kecil bersebelahan ketiga-tiga piramid tadi seakan patung berhala bagi piramid-piramid utama tersebut.

Menurut Herodotus, Cheops dan seluruh pemerintah Mesir telah menjadikan hamba abdi sebagai tenaga buruh untuk mengangkut blok-blok batu dari kuari di bawah bukit ke sungai Nil di Aswan. Batu-batu tersebut diangkut menggunakan sampan untuk menyeberangi sungai Nil. Seramai 100 000 tenaga lelaki dikerah melaksanakan tugas ini termasuk kerja-kerja pemecahan batu, pengangkutan, pengukiran, dan sebagainya. Selama 10 tahun telah diperuntukkan untuk projek ini diselesaikan.

Sebanyak 100 000 biji batu telah diangkut setahun atau 273 biji sehari yang jaraknya 1000 km dari Aswan ke Kaherah dengan menggunakan perahu. Menurut pendapat Herodotus dalam kerja penyusunan batu piramid ini, kren pengangkut dibuat di setiap tingkat untuk membawa bongkah batu ke tempatnya. Kren ini dperbuat daripada kayu balak. Menurutnya juga, sebanyak 41,884kg perak dibelanjakan untuk makanan pekerja dan buruh binaan.

Pembinaan memakan masa suku abad dan terpaksa diberhentikan sementara akibat banjir besar sungai Nil. Piramid ini terdiri daripada 2.3 juta batu dan setiap bongkahan batu seberat 2.5 - 5 tan. Berat piramid Cheops pula dianggarkan sekitar 2.3 juta tan hingga 11.5 juta tan. ketinggian asalnya pula adalah 146 meter namun akibat proses luluhawa dan gempa bumi ia terhakis sehingga 137 meter.

Ketinggian ini menyamai piramid Chephren (sederhana) yang tidak terhakis teruk di mana bahagian atasnya masih utuh. Piramid Mecerines pula merupakan piramid yang paling kecil dengan memiliki ketinggian 68 meter dan terletak jauh dari kedua- dua piramid utama ini.

Abu Houl (SPHINX)

Abu Houl merupakan simbol Chepron yang mengawal piramid. Bentuk badannya menyerupai seekor singa yang berkepala manusia. Menurut masyarakat setempat ia melambangkan kekuasaan manusia dan kegagahan singa. Ketinggian Sphinx adalah 23m dan panjang 73m. Pada asalnya, tubuh Abu Houl ini terbenam di dalam pasir hingga ke paras leher dan kelihatan cuma 5 meter.

Menurut catatan sejarah, kawasan ini telah digunakan sebagai pusat latihan tentera dan percubaan senjata di zaman Mamalik yang menyebabkan kerosakan di bahagian mukanya. Ada juga yang mendakwa ia kesan tetakan pedang Iskandar Zulkrnain. Di kawasan masuk ke Sphinx ini, terdapat tiang-tiang marmar yang utuh dan kukuh berwarna merah seakan-akan dewan persidangan.

Muzium Nasional Mesir

Muzium ini terletak di Medan Tahrir, Kaherah yang menyimpan ribuan artifak sejarah tinggalan Firaun. Bangunan ini dilakarkan oleh arkitek Perancis, Marcel Dougron untuk melihat seni tinggalan Firaun terus terpelihara dengan selamat. Muzium yang mempunyai dua tingkat ini mula dibuka pada tahun 1902. Antara peninggalan sejarah terpenting ialah mumia firaun yang masih utuh ialah patung kepala emas seberat 11kg yang ditemui bersama mumia Firaun Tut Ankh Amoun yang diabadikan di dalam ruang khas di dalam muzium ini.

Antara peninggalan artifak yang masih ada ialah patung Firaun, senjata zaman silam, peralatan untuk membuat mumia, alat permainan kanak-kanak zaman silam, tulisan papyrus asli, perhiasan isteri-isteri firaun, katil dan kerusi kepunyaan Firaun dan banyak lagi kesan-kesan tinggalan Firaun. Muzium ini juga dilengkapi dengan perpustakaan yang menyimpan 35,650 buah buku sejarah Mesir yang sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.

Muzium Kesenian Islam

Kemunculan Islam di sebalik kezaliman pemerintahan Rom ketika itu memang amat di tunggu oleh masyarakat Mesir. Kesan peninggalan seabad lalu masih kekal hingga kini. Perbezaan zaman pemerintahan menjangkau beberapa dinasti, memberikan kesan tinggalan sejarah yang berbeza.

Pada dinasti Umaiyyah, Abasiyyah dan Fatimiyyah kesan lebih tertumpu kepada Kaherah dan pembinaan Masjid Al-Azhar. Kerajaan Ayyubiah popular sebagai pelopor pejuang yang memperjuangkan Islam, ilmu-lmu Islam dan usaha pembebasan Baitul Maqdis, Dinasti Mamalik pula kaya dengan seni binaan masjid, bangunan artistik yang unik dan system ketenteraan yang mantap, manakala zaman Uthmaniyyah pula terkenal dengan pembangunan Mesir moden di bawah pimpinan Muhammad Ali Pasha.

Seni artifak Islam berbentuk hiasan, peralatan perang, tulisan-tulisan dan pelbagai bahan yang menarik terdapat di sini. Surat seruan dakwah oleh Rasulullah sallAllahu alaihi wasalam kepada pemerintah Mesir, Maqauqis ketika itu tersemat rapi di dalam pemeliharaan muzium ini. Perpustakan yang menyimpan lebih 14,000 buah buku karangan ulama`di zaman kegemilangan Islam tersusun rapi sebagai rujukan generasi akan datang. Hal ini membuktikan kecintaan mereka terhadap ilmu yang mampu untuk memartabatkan umat Islam.

Panorama 6th October

Mempamerkan kisah peperangan Mesir dan Israel dan pencerobohan Israel ke atas semenanjung Sinai. Terdapat tayangan gambar (Slide show) bertujuan untuk menggambarkan keadaan sebenar peperangan tersebut. Terdapat juga meriam, senjata tajam dan alat-alat peperangan yang digunakan pada masa itu masih terus diabadikan sebagai bahan sejarah dan pameran umum.

Fayyoum

Perkataan Fayyoum berasal dari kalimah 'baiyoum' yang memberi erti danau atau air. Ia terletak 105 km ke arah selatan bandar Kaherah. Daerah Fayyoum memang terkenal dengan kebun sayur yang subur dan lembah yang terkenal dengan hasil pertanian dari zaman dahulu hingga sekarang. Daerah ini juga amat terkenal dengan kebun mangganya yang amat luas.

Di sinilah lahirnya peradaban Mesir kuno, dan bandar Menef (Memphis) yang merupakan ibu kota Mesir suatu ketika dahulu berada di sebelah utaranya.

Ainul Syilin

Terletak tidak jauh dari Tasik Qarun. Ainul Syilin adalah mata air yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Berbeza dengan mata air yang lain, air yang keluar dari bumi terjamin suci dari kotoran, kandungan beracun ataupun campuran yang membahaya.

Tasik Qarun

Menurut lagenda yang mahsyur di daerah ini, tasik ini pada asalnya adalah merupakan istana Qarun dan hartanya telah ditenggelamkan oleh Allah Taala di atas kekufuran Qarun. Tasik ini terletak berhampiran bandar al-Fayyoum. Tasik Qarun ini merupakan tasik air masin dan di sekitar persisiran tasik tersebut penuh dengan kulit-kulit kerang dan siput. Keluasan Tasik Qarun ini seluas 55,000 hektar, manakala tasik tersebut adalah merupakan sebahagian daripada harta-harta Qarun yang telah ditenggelamkan oleh Allah Taala. Difahamkan untuk membawa kunci-kunci gudang sahaja Qarun, sebanyak 100 ekor unta diperlukan.

Peristiwa ini berlaku kerana keingkaran Qarun untuk membayar zakat. Bangunan rumah penginapan Qarun hanya tinggal 2 tingkat daripada 6 tingkat yang asal. Ianya terletak di salah satu perkampungan bernama Qarun. Ada yang menyatakan harta Qarun masih tenggelam sedalam 1 hasta sehari hingga ianya mencecah perut bumi (salah satu daripada tanda akhir zaman).

Menurut cacatan sejarah yang menyatakan tasik ini merupakan sebahagian dari tasik Moris kuno yang pernah dikunjungi oleh Herodotus pada tahun 450 SM. Di tengah tasik ini terdapat sebuah pulau yang dikenali dengan nama Qarn az-Zahabi. Keluasan tasik ini sebanyak 45 ribu faddan atau 18 900 hektar. Allah Swt telah mengisahkan perihal Qarun di dalam beberapa ayat di antara Firman Allah Taala –

“Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendeharaan harta yang kunci-kkuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat, (ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: "janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri."

“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang yang menghendaki dunia, Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keuntungan yang besar."

Istana Qarun

Qasru el-Qarun atau dikenali sebagai istana Qarun terletak di pinggir Tasik Qarun dan hampir 40 kilometer dari bandar Fayyoum. Istana ini masih kukuh hingga kini dan tidak ditenggelamkan oleh Allah hingga saat ini sebagai pengiktibaran untuk umat manusia. Dipercayai terdapat 360 buah bilik di dalam istana ini yang menyamai 360 hari dalam setahun. Terdapat tiga tingkat yang menempatkan kaum kerabat dan tempat menyimpan harta Qarun tidak termasuk beberapa lapisan di bawah istana tersebut.

Al-Quran menerangkan tentang penampilan Qarun suka mempamerkan kebesaran dan kekayaannya. Kebiasaannya ia dilakukan tiada motif tertentu kecuali ia merupakan strategi menarik perhatian ramai agar ia dikagumi sebagai idola. Dengan mempamerkan kekayaannya juga bermaksud memberikan mesej bahawa ia mampu melakukan segala-gala, mengupah, membeli dan membiayai apa sahaja dan berapa sahaja.

Dalam penceritaan selanjutnya al-Quran menyebut tentang adanya kelompok yang memang mengagumi Qarun, iaitu golongan material yang terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan cara apa sahaja. Mereka ingin menjadi Qarun, kerana ia adalah lambang kejayaan seorang usahawan, kejayaan yang hanya diukur dari jumlah yang tertimbun, tanpa mengambil kira dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan. Kerana itu Qarun mengakhiri hayatnya dengan nasib yang sangat tragik, hancur luluh ditelah bumi.

al-Quran memberikan gambaran, bagaimana Qarun terbenam ke dalam bumi bersama rumahnya sekali.

Kincir Air

Kincir air atau dikenali juga dengan nama as-Sawaqi oleh masyarakat Arab, pada asalnya digunakan untuk tujuan pengairan di kawasan pertanian. Ia merupakan salah satu bukti ketinggian tamadun Mesir kuno. Sebanyak 200 buah kincir telah digunakan untuk menyalurkan kawasan pertanian yang cukup luas di Fayyoum.

Bagaimanapun setelah berkembangnya teknologi moden dalam bidang pengairan ia tidak lagi digunakan. Akhirnya ia dipindahkan ke kawasan Fayyoum untuk dijadikan salah satu tinggalan sejarah yang masih lagi berfungsi dengan baik. Hanya tinggal beberapa buah kincir air sahaja yang masih digunakan hingga saat ini.

Kincir air ini telah dibina di zaman Nabi Yusof alaihisalam sebelum Mesir dilanda kemarau selama 7 tahun. Persediaan pertanian bagi 7 tahun yang subur telah menyaksikan lebih dari 250 kincir sebegini dicipta. Bunyi geseran kincir-kincir tersebut seperti laungan Azan, seperti yang dinyatakan. Kini hanya tinggal 4 buah kincir di tengah-tengah bandar Fayyoum yang digunakan sebagai daya tarikan pelancong.

Iskandariah

Nama Iskandariah diambil sempana pahlawan terkenal Yunani, Alexandar The Great. Ada pendapat yang menyatakan ia adalah sempena nama Iskandar Zulkarnain yang dinyatakan oleh Allah Taala di dalam surah al-Kahfi mengenai pengembaraannya mengelilingi dunia namun pendapat ini terlalu lemah dan tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

Menurut catatan sejarah, pada tahun 332SM merupakan titik permulaan munculnya kota Iskandariah yang masyhur di bumi Mesir ini. Di zaman pemerintahannya, pusat pemerintahan kerajaan Mesir telah berpindah dari kawasan delta ke kota Iskandariah.

Iskandar Zulkarnain telah memerintahkan Denekrates, seorang ahli perancang kota Yunani untuk merealisasikan pembinaan kota impiannya itu. Kota Iskandariah ini telah mengalami kemajuan yang begitu pesat membangun dan pernah menjadi ibu kota Mesir selama 1000 tahun. Kedudukannya yang strategik telah menjadi tumpuan para pedagang untuk berniaga.

Hal ini berlanjutan sehingga pembukaan Islam ke atas Mesir pada tahun 21H bersamaan 642M iaitu setelah dikuasai oleh tiga peradaban besar Batlemeus, Rom dan Byzantine.

Sehingga kini kota ini merupakan kota yang banyak meninggalkan kesan sejarah dan merupakan kota yang kedua terbesar di Mesir selepas Kaherah.

Masjid Qait Bey

Dibina oleh salah seorang Sultan Qait Bey pada tahun 1472M. Terletak di sebelah timur pelabuhan Iskandariah. Keluasan benteng ini adalah 2 hektar dan seni binanya bercirikan senibina Islam.

Pembinaannya juga bertujuan untuk menjadi tembok yang membentengi kota Iskandariah dari serangan musuh. Masjid ini juga pernah menjadi tempat persinggahan tentera Perancis sebelum menuju ke kota Kaherah.

Tiang Pompei

Tiang Pompei diperbuat daripada batu granit dan mempunyai ketinggian 25 meter. Didirikan pada tahun 297M oleh Caesar Dioclettian.

Istana Raja Farouk & Taman Montaza

Kawasan ini merupakan tempat kunjungan raja-raja mesir dalam musim panas sebelum Revolusi 23 Julai 1972. keluasan taman di pinggir pantai ialah 155.4 hektar dan terdapat di dalamnya istana Raja Farouq.

Di sebalik kesenian istana tersebut, terdapat besi seumpama tombak-tombak tajam di setiap menara tersebut yang didakwa sebagai lambang kezaliman semasa pemerintahan Raja Farouk.

Kedudukan yang agak strategik di tempat yang agak tinggi ini di samping menghadap ke arah laut menjadikan ia begitu indah. Istana itu kini dijadikan tempat menyambut para tetamu kehormat yang berkunjung ke Iskandariah.

Muzium Kebudayaan Yunani & Rom

Pada tahun 1981 kerajaan Masir telah membina sebuah muzium artifak hasil peninggalan Yunani dan Rom di Iskandariah.

Terdapat lingkungan 50 ribu seni kesan sejarah peninggalan Yunani dan Rom abad ke-3 hingga 5M, tersimpan di dalam muzium ini.

al Masrah al Romani (TEATER ROMAN)

Ditemui di kawasan Koum el Dukkan pada tahun 1960. Terdapat 12 anak tangga sebagai tempat duduk yang diperbuat daripada marmar membentuk separa bulatan sebagaimana teater Roman di Jordan. Ia merupakan kesan peninggalan sejarah Rom yang pernah menguasai kota Iskandariah suatu ketika dahulu.

Masjid Nabi Daniel

Terletak di Mahattah Masr, Iskandariah. Di dalam masjid ini terdapat makam Nabi Daniel dan Makam Luqmanul Hakim alaihuma salam.

Makam Nabi Daniel alaihisalam

Makam ini terletak di bawah Masjid Daniel. terdapat beberapa pendapat yang menyatakan kedudukan maqam Nabi Daniel antaranya:

- Kitab Zibdah al Mamalik menyatakan bahawa makam Nabi Daniel di Iskandariah.
- Kitab Mu'jam Baldur menyatakan makamnya di Bandar Soa, Iran.
- Pendapat lain menyebut makamnya di Mosul, Iraq.
- Kitab Dirar Kinanah karangan Ibn Hajar al Asqalani menyatakan bahawa makam yang terdapat di iskandariah adalah makam Syeikh Mohd Daniel Musolla. seorang ulama bermazham Syafie sekitar kurun ke 19, yang meninggal dunia dan dikebumikan di Iskandariah.

Makam ini terletak dalam tanah sedalam 3 meter dan bersebelahan dengan makam Luqmanul Hakim. sejauh mana kebenaran hakikat makam ini hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui-Nya. wallahu a'lam.

Makam Abu Darda' radhiAllahu an.hu

Beliau ialah Abu Uwaimir bin Zaid bin Qias dan merupakan sahabat Nabi yang datang ke Mesir. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan berkawan baik dengan Abdullah bin Rahawah. Apabila Islam disebar Abdullah bin Rawahah memeluk Islam.

Bagaimanapun Abu Darda', sahabatnya masih menyembah berhala. pelbagai usaha dilakukan oleh Abdullah untuk mengIslamkan Abu Darda' sehingga akhirnya Abdullah bertindak memusnahkan semua berhala yang ada di rumah Abu Darda'.

Setelah berfikir secara rasional, Abu Darda' menemui Rasulullah dan memeluk Islam. Beliau turut bersama Saidina Amru ibn al’As membuka Mesir dan Iskandariah.

Makam Luqmanul Hakim rahimahu’Llah

Ada banyak pendapat ulama’ mengenai beliau. Ada pendapat yang mengatakan beliau berasal dari Habysah (Ethiopia). Pendapat lain mengatakan beliau adalah ahli falsafah. Apapun mengenainya, kisah manusia istimewa ini memberi nasihat kepada anaknya telah dirakamkan dalam al-Quran dengan satu surah bersempena namanya. Makamnya bersebelahan makam Nabi Daniel.

Masjid Abu Abas al Mursi

Masjid ini terletak di tepi pantai Iskandariah, berbentuk enam segi, dihiasi kaligrafi Islam yang indah dan menarik. Di dalamnya terdapat makam Syeikh Muhammad Aa Mursi yang merupakan seorang ahli sufi yang mashyur, murid kepada Hassan Syadzali, pengasas tarikat Syadziliah yang terkenal.

Mansourah

Kebanyakan kawasan di Mansurah adalah landai dan bertanah gambut, sesuai untuk pertanian. Sungai Nil mengalir di sebelah barat laut sebagai bekalan air minum dan khusus untuk pertanian. Mempunyai jarak 120 km dari Kaherah di bahagian utara Mesir, 72 km dari muara sungai Nil di Dumyat sebelah barat dan 86 km dari tasik Manzalah di Matoriah sebelah timur
Pertanian tertumpu kepada penanaman padi, jagung, sayuran dan buah-buahan. Manakala pada musim sejuk, kapas dan gandum menjadi pilihan utama dalam agenda pertanian mereka. Selain pertanian, perindustrian dan perdagangan banyak dijalankan.

Masjid al-Mawafi

Masjid al-Mawafi adalah sebuah masjid yang termasyhur di Bandar Mansurah yang diasaskan oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 543H (988M). Nama masjid ini dinasabkan kepada nama salah seorang syeikh yang berusaha menjadikan masjid ini sebagai pusat pengajian agama.

Dar Ibn Luqman

Merupakan sebuah penjara yang terletak bersebelahan Masjid An-Nawafi di tengah-tengah Bandar Mansurah (ibu negeri Daqahliah). Kemasyhurannya bermula selepas dipenjarakan King Louis yang ke-9 di sini. King Louis adalah Raja Perancis yang mengepalai gerakan Salibiyyah ke atas Mesir (1939-1250). King Louis telah ditempatkan di dar Ibn Luqman selama sebulan selepas dibayar pampasan oleh isterinya.

Istana Firaun

Pada masa pemerintahan Firaun, Ramsis II telah membina istana bagi meluaskan pemerintahannya di sebelah barat. Bandar lama tersebut didirikan di antara dua buah bukit yang dilindungi oleh tembok-tembok besar. Di dalam kubu Firaun ini juga dibina lorong bawah tanah yang menghubungkan antara Aswan, Giza dan Sinai.

Ia adalah jalan bawah tanah bagi batallion askar Firaun ketika itu Manakala di belakang bukit terletak perkampungan penempatan Yahudi yang berada di luar kota yang merupakan buruh kasar dan hamba abdi kepada Firaun

Semenanjung Sinai


Kedudukan Semenanjung Sinai seakan daratan yang menyerupai sebuah pulau. diapit dua teluk. Semenanjung ini jelas kelihatan dalam peta dunia iaitu Terusan suez dan Teluk Aqabah. Hampir kesemua dataran Sinai ini terdiri daripada padang pasir gunung-gunung batu. Keluasan semenanjung ini ialah 61 ribu km persegi yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Sinai Utara dan Sinai Selatan.

Hasil galian yang terdapat di sini amat banyak dan bernilai sekali di samping keindahan alam semulajadinya yang selamat dari pencemaran. Di dataran ini terdapat banyak kesan- kesan peninggalan sejarah nabi dan rasul utusan Allah. Kawasan ini juga sering menjadi pertikaian beberapa buah negara. Tidak kurang daripada 15 kali ia pernah dijajah sejak zaman Mesir Kuno dan yang terakhirnya oleh Israel namun berjaya diambil semula oleh kerajaan Mesir dalam peperangan Oktober 1973.

Di semenanjung inilah terletaknya Jabal Musa (Moses Mountain) yang berketinggian 2,285 meter dan Jabal Catherine (Mount St. Catherine) iaitu kawasan yang paling tinggi di semenanjung ini iaitu 2,642 meter.

Terusan Suez & Terowong Ahmad Hamdi

Dibina pada tanggal 17 November tahun 1869 oleh seorang panglima perang berbangsa Perancis, Ferdinand De Lesseps. Projek pebinaan terusan ini memakan masa selama 10 tahun. Panjang terusan ini mencapai 168 km dengan lebar antara 120 hingga 200 m. Terusan ini pernah satu ketika dahulu menjadi rebutan Inggeris, Perancis dan Mesir pada peperangan tahun 1956 kerana ia merupakan pusat laluan utama kapal-kapal dagang timur dan barat.

Ia juga merupakan sistem perhubungan yang kedua terpenting di dunia selepas jalan laut Atlantik Utara dan menjadi pusat perhubungan laut antara Mesir dan Israel. Di bawah terusan inilah terdapat terowong bawah tanah (Ahmad Hamdi Tunnel) yang menghubungkan Mesir dan semenanjung Sinai. Terusan ini merupakan sumber hasil utama pendapatan kerajaan Mesir dari setiap cukai kapal yang menggunakan terusan ini.

Terowong ini juga merupakan penyambung antara benua Afrika dan Asia. Selepas kejayaan negara Mesir menguasai Sinai, terowong ini dibina untuk mengangkut kereta kebal, kereta perisai, meriam, senjata dan peralatan perang dan memudahkan tentera Mesir menghadapi sebarang kemungkinan dari serangan musuh khususnya Israel. Nama terowong ‘Ahmad Hamdi’ ini diambil bersempena nama panglima perang yang telah mencetuskan idea pembinaan terowong ini.

Telaga Nabi Musa alaihisalam

Menurut catatan sejarah menyatakan terdapat 12 telaga yang telah dibina oleh para pengikut Nabi Musa, tetapi yang ada sekarang 8 buah telaga sahaja. 12 telaga ini adalah melambangkan 12 golongan pengikut Nabi Musa yang berjaya menyeberangi Laut Merah daripada buruan Firaun dan tenteranya.

Berhampiran dengan telaga ini juga terdapat sepohon pokok yang dikatakan menjadi tempat Nabi Musa bertemu dengan anak perempuan Nabi Syuib, Safura yang kemudian menjadi isterinya. Menurut catatan sejarah, Nabi Musa telah melarikan diri ke Madyan setelah dihukum bunuh oleh Firaun, disebabkan telah membunuh seorang masyarakat Mesir berbangsa Qibti yang berkelahi dengan seorang lelaki di kalangan Bani Israel.

Di Madyan, Baginda telah bertemu jodoh dengan anak perempuan Nabi Syuib yang telah ditolongnya memberikan bantuan mengangkat bekas-bekas minuman binatang ternakannya. Kedudukan telaga ini terletak sebuah Hamam Firaun jika melalui Terusan Suez.

Hamam Firaun

Terletak di Terusan Suez menuju ke Semenanjung Sinai. Ia merupakan tempat mandi Firaun pada musim panas. Terdapat juga sebuah gua tempat Firaun beristirehat selepas mandi. Ada pendapat menyatakan bahawa udara di dalam gua ini lebih panas berbanding udara di luarnya dan udaranya dapat mengubati penyakit Rheumtism. Air yang keluar dari gua ini amat panas hingga telur yang direndam di dalamnya boleh menjadi masak.

Keadaan gua yang panas ini disebabkan oleh kandungan batu sulfur yang banyak berbanding di tempat lain. Semakin dalam gua ini dimasuki, semakin tinggi kadar kepanasannya. Kawasan Hamam Firaun ini terletak di persisiran Laut Merah. Ia memiliki keindahan alam semula jadi yang istimewa lambang kebesaran Ilahi.

Wadi Arbain & Uyun Musa (Air Mata Air Musa)

Nama Wadi Arbain [empat puluh lembah] diambil sempena firman Allah Taala di dalam al Quran yang maksudnya;

“Allah berfirman :[ Jika demikian ],maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun [selama itu] mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi ini [padang Teh] itu. Maka janganlah kamu bersedih hati [memikirkan nasib] orang-orang yang fasik itu”

Di kawasan inilah pengikut Nabi Musa menjadi kebingungan tidak menjumpai tempat keluar selama 40 tahun disebabkan keengganan mereka menuruti perintah Allah untuk memasuki kota Palestin. Keengganan mereka di sebabkan keangkuhan mereka serta cerita yang menyatakan terdapat puak yang amat digeruni di dalam Palestin tersebut. Hal ini dirakamkan oleh Allah di dalam al Quran mafhumnya ;

“Hai kaumku, pergilah ke tanah suci [Palestin] yang telah ditentukan Allah bagimu,dan janganlah kamu lari kebelakang [kerana takut kepada musuh], maka kamu jangan jadi orang yang merugi”

Kedudukan Uyun Musa ini terletak berhampiran dengan Lembu Samiri di kaki Bukit Thur. Uyun Musa merupakan batu yang telah dipecahkan oleh Nabi Musa dengan tongkatnya, lantas terpancar 12 mata air untuk diberi minum 12 suku kaumnya seperti yang telah dinyatakan oleh Allah Taala:

"Dan ingatlah ketika Musa memohon air untuk kaumnya , lalu kami berfirman: "pukullah batu itu dengan tongkatmu, lalu terpancarlah daripadanya 12 mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku kaum kamu telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing) makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi ini dengan membuat kerosakan"


Jabal Thur (Jabal Musa)

Merupakan tempat suci di dataran Sinai. Di sinilah Nabi Musa alaihisalam berbicara dengan Allah Taala sebagaimana yang dinyatakan di dalam al Quran yang bermaksud; “Sesungguhnya aku inilah tuhanmu, maka tanggalkanlah kedua terompahmu sesungguhnya kamu berda di lembah suci, Thuwa"

Di dalam Al Quran, Allah Taala ada merakamkan perkataan Thur Sina antaranya:- Firman Allah Taala ;"Dan pohon kayu keluar dari Thur Sina (pohon Zaitun) yang menghasilkan minyak, dan dan sumber makanan bagi orang yang makan"

"Dan Kami telah memanggilnya dari sebelah kanan gunung Thur dan Kami telah mendekatkannya kepada Kami di waktu dia munajat (kepada Kami)"

"Hai Bani Israel, sesungguhnya Kami telah menyelamatkan kamu sekalian dari musuhmu, dan Kami telah mengadakan perjanjian dengan kamu sekalian (untuk munajat) di sebelah kanan gunung itu dan kami telah menurunkan kepada kamu sekalian manna dan salwaa"

"Dan tiadalah kamu berada berdekatan gunung Thur ketika Kami menyeru (Musa) tetapi (kami mengetahui kehendakmu) sebagai rahmat dari tuhanmu, supaya kamu memberi peringatan kepada kaum yang sekali-kali belum datang kepada mereka sebagai pemberi peringatan sebelum kamu agar mereka ingat"

Kawasan ini terletak pada ketinggian 2285 meter daripada permukaan laut. Udaranya yang dingin dan nyaman terserlah apabila seringkali diliputi salji pada musim sejuk di puncaknya. Kawasan ini juga menempatkan Makam Nabi Salleh, dan Nabi Harun alaihuma salam. Kawasan ini juga terdapat lembaran sejarah keingkaran Samiri di mana terdapat patung I'jil (anak lembu yang disembelih oleh Samiri) ketika Nabi Musa selesai bermunajat kepada Allah selama 40 hari di atas bukit. Di sini jugalah dikatakan terdapatnya pohon suci yang telah dinyatakan di dalam al Quran sebagaimana firman-Nya ;

"Dan pohon kayu keluar dari Thur Sina (pohon Zaitun) yang menghasilkan minyak, dan dan sumber makanan bagi orang yang makan"

Biara Saint Catherine

Kawasan ini terletak di Jabal Catherine yang mempunyai ketinggian 2642 meter dari aras laut. Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan asal nama St. Catherine.

PERTAMA: Menyatakan Catherine adalah pengikut Nabi Musa alaihisalam. Beliau telah meninggal dunia ketika bermunajat kepada Allah Taala. Pengikut Nabi Musa telah mengkebumikan beliau di kaki bukit Thursina.

KEDUA: Menyatakan St. Catherine adalah bersempena nama yang diambil dari salah seorang anak pemimpin Alexandria yang telah menganut agama Nasrani sehingga ia diseksa.

Panorama Matahari Terbit

Pemandangan matahari terbit di waktu pagi dapat dilihat dengan jelas dari atas St.Catherine. Kebanyakan pelancong naik ke bukit ini pada pertengahan malam kira-kira jam 12.00 atau 1.00 a.m dan akan tiba dikemuncak kira-kira 3 jam perjalanan.

Mereka akan berada di puncak tersebut menunggu sehingga matahari terbit. Seterusnya merakamkan gambaran matahari terbit dengan video atau kamera. Pada musim sejuk di kawasan kemuncak bukit ini diliputi salji.

Perkampungan Nabi Salleh alaihisalam

Baginda merupakan nabi kelima dan menjadi Rasul pada tahun 1990SM. Suatu ketika dahulu, Allah Taala telah mengutus Nabi Saleh untuk menyampaikan dakwah kepada kaum Thamud.

Maka Nabi Saleh telah berhijrah dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Antara kawasan yang dipercayai pernah dijadikan tempat penginapan Nabi Saleh bersama pengikutnya yang menerima seruan dakwah Islam terletak di kaki bukit Thursina ini. Terdapat beberapa pohon yang menjadi simbol kawasan tersebut. Ia dapat dilihat dengan jelas apabila melalui kaki bukit sebelum sampai ke puncak bukit Thursina.

Makam Nabi Harun alaihisalam

Baginda bersaudara dengan Nabi Musa. Baginda telah dilantik oleh Allah Taala menjadi rasul pada tahun 1439SM sehingga baginda kembali menemui tuhan-Nya pada tahun 1317SM. Pada ketika itu baginda berusia 122 tahun. Makamhnya terletak berdekatan dengan S.t Catherine dan tidak jauh dari maqam ini terdapat gambaran patung Lembu Samiri dan mata air dua belas. Makam yang dimaksudkan ini bukanlah kubur Nabi Harun tetapi merupakan hanya tempat yang pernah diduki oleh Nabi Harun suatu ketika dahulu.

Lembu Samiri

Apabila Nabi Musa terlambat pulang bermunajat kepada Allah, Bani Israel mula meragui kenabian dan agama yang dibawa olehnya. Salah seorang dari pemimpin mereka yang bernama Samiri, telah menghimpunkan emas, perak dan barang perhiasan lalu membentuk seekor anak lembu dan membawa patung tersebut ke hadapan Nabi Harun. Dia meminta daripada kaumnya supaya menyembah dan menyembelih korban kepada Tuhan baru mereka. Sekembalinya. Nabi Musa bermunajat, dia membawa bersamanya kitab Taurat sebagai ajaran dan panduan kepada Bani Israel. Namun, Nabi Musa kecewa setelah baginda mendapati kaumnya mensyirikkan Allah dengan menyembah patung berhala yang dibuat oleh Samiri.

Gambaran patung lembu tersebut dikatakan pancaran daripada patung emas yang dibuat oleh Samiri (pengikut kepada Nabi Musa). Lalu pancaran tersebut terkena ke bukit dan membentuk ukiran seekor lembu. Ukiran ini dapat dilihat dengan jelas kira-kira 20 meter dari tempat tersebut. Ada pendapat yang menyatakan ia bukan hasil pancaran dari patung emas tersebut tapi cuma kesan luluhawa yang membentuk seperti lembu, wAllahua'lam. Ia terletak berhampiran Makam Nabi Harun dan Mata Air 12.

Thaba’

Merupakan kawasan yang terletak di hujung timur Mesir dan jarak yang palimg jauh daripada kota Kaherah iaitu 703km. Bandar ini juga merupakan sempadan pemisah bagi tiga buah negara iaitu Mesir, Israel dan Jordan. Thaba’ juga bersebelahan dengan bandar ILat iaitu salah satu kota bagi negara Israel. Ia juga merupakan kawasan yang terakhir di dalam pembebesan penjajah Israel di Semenanjung Sinai.

Jazirah Firaun (Pulau Firaun)

Ia merupakan pulau kecil yang terletak 8 km dari bandar Thaba’. Terdapat di sana sebuah benteng yang dibina oleh Salahuddin al-Ayyubi bagi menghadapi serangan musuh di dalam Perang Salib. Pelancong yang ingin melihat tempat tersebut biasanya menggunakan perahu kecil yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan Mesir. Sekarang pelacong yang datang dapat meengunjungi kawasan tersebut dengan menggunakan pengangkutan bot yang disediakan.

Kota Thur

Kota ini terletak di pinggir Teluk Suez dan merupakan ibu kota bagi Selatan Semenanjung Sinai. Di dalam kota ini terdapat benteng Thur yang telah dibina oleh Sultan Salim I, iaitu zaman Turki Uthmaniyyah pada tahun 1520M.

Syarqiah

Kawasan Syarqiah terkenal dengan kawasan delta yang subur. Ibu negeri Syarqiah ialah Zaqaziq. Keadaannya yang strategik terletak di antara dua aliran sungai Nil menjadi rahmat kepada penduduk tempatan. Ia terletak di sebelah timur Kaherah dengan jarak 65 km. Terdapat banyak kesan sejarah peninggalan generasi silam di kawasan ini.

Diriwayatkan di kawasan inilah Nabi Musa dilahirkan lalu dihanyutkan oleh ibunya di sungai Nil untuk mengelakkan anaknya daripada dibunuh oleh Firaun dan sekutunya ketika itu. Namun perancangan Allah Taala mengatasi segalanya lalu dididik dan diasuh oleh Asiah binti Muzahim, Isteri Firaundi dalam istana Firaun. Manakala Nabi Musa disusukan oleh ibunya sendiri. Menurut catatan sejarah juga kawasan ini jugalah pintu masuk penjajah Mesir sejak zaman raja-raja Hyksos. Disini juga bermulanya kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha dengan kisah percintaan yang memberi kesan yang mendalam. Banyak kisahnya yang dinyatakan di dalam al-Quran mengenai keduanya.

“ Dan wanita (Zulaikha) menggoda Yusuf yang tinggal di rumahnya supaya Yusuf menundukkan diri kepadanya (mengikut hawa nafsunya) dan dia menutup pintu-pintu, lantas berkata;’Marilah ke sini‘ Yusuf berkata;’Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya tuanku orang yang baik’ Sesungguhnya orang yang zalim tidak akan beruntung ”

Mathaf Syarqiah Qaumi

Merupakan sebuah muzium yang lebih dikenali dengan Muzium Ahmad A’rabi, bersempena dengan nama seorang panglima Mesir yang bernama Ahmad A’rabi. Terletak di Hariyyan kira-kira 2 km dari pusat bandar. Muzium ini merupakan tempat kunjungan yang sungguh menarik dan mampu memberikan kepuasan kepada setiap pengunjung yang melawatinya. Di dalam muzium ini terdapat patung-patung yang berupa ukiran wajah para pembesar Mesir pada zaman silam. Selain itu, terdapat juga ukiran batu-batan dan khazanah-khazanah purba yang ditemui pada zaman dahulu.

Aswan

Bandar Aswan terletak di bahagian Selatan Mesir. Jaraknya dari bandar Kaherah sejauh 904 km. Perjalanannya memakan masa 12 jam sekiranya kita menaiki keretapi dari Stesen Keretapi Ramsis di Kaherah. Ia terkenal dengan panorama alam yang indah. Menurut bahasa Mesir kuno, perkataan Aswan ini dikenali sebagai Suno yang bererti pasar. Setelah kedatangan Islam, tempat ini dinamakan Aswan. Di sini terdapat maqam Aga Khan yang merupakan pengasas syiah Ismailiyyah yang meninggal dunia pada tahun 1957.

Abu Simbel


Kedudukannya terletak di Nuba, iaitu di bahagian Selatan Aswan dan kawasan yang terletak di hujung selatan negara Mesir. Jaraknya dari Aswan ialah 320 km manakala jarak dari bandar Kaherah pula ialah 1184 km. Terdapat banyak kisah dan kesan sejarah yang menarik dan indah di kawasan ini. Di kota Abu Simbel ini terdapatnya Ma’abad Abu Simbel yang telah dibina semasa kerajaan Ramsis II. Ma’bad ini mempunyai ketinggian 31 meter dan lebarnya seluas 38 meter dan 65 meter panjang. Ia dibina pada 2000 SM tahun lampau. Terdapat empat buah patung besar Ramsis II berkeadaan duduk di pintu masuk Ma’bad ini. Ketinggian patung ini mencecah 20 meter.

Menurut pengkaji-pengkaji sejarah Inggeris, seni bina Ma’abad Abu Simbel ini memiliki ciri-ciri yang dikenali sebagai tempat Qadaasul Aqdas (tempat yang paling suci). Yang menakjubkan kawasan ini ialah, sinaran matahari tidak pernah memasuki ruang tersebut melainkan pada dua hari sahaja dalam setahun 21 Mac dan 21 September pada jam 5.58 petang. Cahaya tersebut akan mengenai patung Ramses II dan tersebar cahaya tersebut kepada beberapa patung yang lain seperti Amon dan Hamakhis selama lima minit sahaja dalam tempoh setahun.

Namun demikian, cahaya tersebut tidak mengenai patung Ptah kerana ia merupakan tuhan kegelapan. Francis Champollian menggelarkan ruangan ini sebagai "miracle of the sun" atau keajaiban matahari. Ini jelas menunjukkan ketinggian ilmu astronomi Mesir kuno yang mampu menggabungkan posisi bangunan dengan ketetapan perhitungan perjalanan matahari.
Pada musim panas tahun 1965, pernah berlaku banjir besar dari empangan Aswan yang menyebabkan tenggelamnya kawasan ini. Namun, kerajaan Mesir telah mendapat bantuan daripada PBB di bawah bahagian pendidikan dan kebudayaan (UNESCO) untuk memindahkan ma’bad tersebut ke kawasan yang lebih tinggi dari tempat asal bagi menyelamatkan daripada banjir. Tindakan segera telah diambil bagi menyelamatkan kesan sejarah peninggalan Firaun untuk tatapan masyarakat dunia pada masa akan datang, walaupun terpaksa mengeluarkan kos yang besar.

Binaan tersebut juga merupakan tanda hadiah istimewa buat isteri Ramsis II yang paling dicintai, Nefertari. Ramses II telah mengarahkan pekerjaan membina ma’bad ini daripada batu putih yang indah dan menawan. Di dalam sejarah Firaun, tiada raja yang begitu mengasihi isterinya sehingga sanggup membina istana bersebelahan ma’bad suaminya. Bukti kecintaan dan kasih sayang yang sejati ini dapat dilihat hingga kini. Poyolah!


BKMIP

LAMAN PILIHAN