Wednesday, March 12, 2008

Masjid Mohammed Ali Pasha

Mohammed Ali Pasha berketurunan Albania telah diputerakan di Bandar Qaulah (Qavalia), Macedonia Greece pada tahun 1182H / 1769M. Beliau merupakan pengasas dan pemerintah dinasti terakhir system pemerintahan beraja di Mesir. Beliau telah menganggotai angkatan tentera laut dan datang ke Mesir bertujuan untuk memerangi tentera Perancis yang diketuai Napoleon Bonaparte.

Setelah tentera Perancis berundur, beliau dilantik sebagai pemerintah Mesir menggantikan Khurshid Pasha pada tahun 1805. Masjid Muhammad Ali dibina oleh beliau sebagai symbol pemerintahan beliau di Mesir yang beraliran moden pada tahun 1830M. Pembinaan masjid ini telah diketuai oleh seorang arkitek Turki bernama Youssef Coshna (Bushnaq), seorang arkitek bangsa Greek yang mengambil model Hagia Sophia (sebuah gereja yang ditukar masjid di Turki). Masjid ini juga terkenal dengan seni bina kerajaan Byzantine.

Ia merupakan seni bina Islam kurun ke -19 yang paling menonjol dan banyak diziarahi pelancong. Masjid Mohammed Ali disebut juga Masjid Marmar (The alabaster Mosque) kerana bahan binaan dalamannnya mewah dengan marmar yang terbaik, termasuklah mimbarnya juga diperbuat daripada marmar Bani Suef.

Seni Bina masjid berbentuk empat segi, manakala keluasan kawasan ini ialah 52×54 meter persegi yang dilapisi oleh marmar putih. Di tengah-tengahnya terdapat tempat mengambil wudhu’ yang dihiasi dengan seni ukiran yang menarik. Jam antik di menara jam di luar kawasan masjid (sebelah barat) ini adalah hadiah oleh Raja Perancis, Louis Phillip kepada Muhammed Ali pada tahun 1945. Menara azannya mencapai ketinggian 84 meter, ia juga turut dipengaruhi oleh kesan seni arkitek Turki Uthmaniyyah . Terdapat di dalamnya sebuah perigi yang dalam, dikenali dengan nama Perigi Yusuf.

Kedudukannya yang starategik membolehkan ia dapat dilihat dari semua penjuru kota Kaherah. Manakala dari pemandangan luarnya ,dapat dilihat pemandangan kota Kaherah secara keseluruhan. Kawasan dalaman masjid ini terdiri daripada beberapa buah kubah. Keluasan bahagian dalamnya ialah 41 meter panjang, 21 meter lebar. Kubah besarnya mencapai ketinggian 52 meter dan dikelilingi oleh kubah sederhana besar yang tertulis nama Khulafa’ ar-Rasyidin di setiap penjurunya. Reka bentuk dalaman yang indah menjadikan suasana nyaman. Sistem gema suara hasil lantunan padu di dalam masjid ini dapat didengar dari segenap penjuru masjid walaupun tanpa menggunakan sistem mikrofon. Masjid ini mempunyai lampu Chandier seberat 2 tan yang indah tergantung di tengah-tengahnya. Sebelum adanya elektrik lampu-lampunya dinyalakan dengan lilin.

Terdapat dua mimbar yang kedua dan juga digunakan sehingga sekarang. Masjid ini juga terdapat makam Muhammad Ali Pasha yang terletak di bahagian kanan pintu masuk masjid ini. Seni bina makam tesebut dipenuhi dengan ukiran bercorak tumbuh-tumbuhan. Suatu kisah menarik tentang Masjid Mohammed Ali ini, ketika perang antara Mesir dan Israel dahulu masjid ini pernah menjadi sasaran peluru berpandu Israel. Namun dengan kekuasaan Allah, ketika hendak dibom rumah Allah ini, kabus tebal tiba-tiba muncul menyelimutinya. Pihak Israel tidak menjumpai sasarannya. Benarlah firman Allah Taala:" Dan bagi Allah-lah apa-apa yang dilangit dan apa-apa yang berada di bumi. Cukuplah Allah sebagai pengawal."

No comments:

BKMIP

LAMAN PILIHAN